Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan itu beberapa kali menolak perjuangan terhadap bangsa Melayu kerana menganggap ia tidak dilakukan oleh Islam selain turut menolak perjuangan nasionalis kerana dakwanya, ia bercanggah dengan ajaran Islam.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, Pas dan Nik Abdul Aziz langsung tidak mempunyai prinsip kerana sering kali berubah pendirian semata-mata untuk menjamin kelangsungan politik mereka selain sanggup memperalatkan agama.
Menurutnya, Pas bukan berjuang kerana Islam tetapi untuk memegang kuasa sehingga mereka sanggup mengeluarkan fatwa politik bahawa golongan yang menolak Pas adalah masyarakat jahiliah serta menolak Islam.
"Tolak Islam ini apa? Kalau anda tolak Islam anda jadi apa? Maksudnya samalah dengan mengkafirkan orang yang sokong UMNO walaupun Nik Abdul Aziz kata mana bukti dia mengkafirkan orang UMNO.
"Pas ini kalau boleh mereka nak kita mengucap tiga syahadah, baru Islam kerana syahadah yang diucapkan sekarang tidak cukup bagi mereka. Pertama mengakui Allah tuhan yang satu, Nabi Muhammad SAW pesuruh Allah dan tambah yang ketiga iaitu hanya ahli Pas, Islam dan boleh masuk syurga," katanya menyindir.
Sementara itu, Dr. Mahathir turut menyelar tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan fahaman pluralisme antara agama.
Sambil mengecam tindakan Ketua Pembangkang itu, beliau mempersoal motif Anwar itu bertujuan mahu meletakkan Islam sama kedudukannya dengan agama lain di sisi Allah semata-mata kerana kebebasan beragama.
"Kita tidak boleh samakan Islam dengan agama lain meskipun kita iktiraf agama lain. Mereka dengan agama mereka dan kita dengan agama kita, tetapi agama yang suci di sisi Allah hanya Islam.